sekadar renungan bersama..

Isnin, 25 Oktober 2010

CARA NAJIB MENJERNIHKAN ISLAMIC PHOBIA

Maka tercatatlah dalam sejarah pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) bagaimana hebatnya seorang anak Melayu membela Islam dengan mengajak dunia jangan takut kepada Islam . Kerana Islam agama yang baik , tidak menyeru keganasan dan agama yang sederhana . Ramai yang kagum dengan kehebatan Najib Razak . Bahkan setelah menyampaikan 'dakwahnya' kepada Obama Presiden Amerika , maka gegak gempitalah media-media pro UMNO/BN yang ada dinegara ini menjulang imej Najib sebagai tokoh dunia Islam yang baru . Mungkin Najib sehebat Erdogan , PM Turki !!


Sebenarnya baguslah jika Najib benar-benar beramal dengan Islam dan mengajak orang supaya cinta kepada agama pilihan Allah iaitu Islam . Sebenarnya yang benci kepada Islam dan segala peraturannya adalah orang-orang yang menentang fitrah dan memiliki otak 3 suku .


Namun segala usaha-usaha Najib tersebut runtuh dan berkecai setelah sikap sebenar Najib terhadap Islam terserlah tanpa dapat diselindung lagi . Begini rupa cara Najib ajak orang-orang kafir khususnya orang-orang barat supaya tidak phobia kepada Islam :


i) Restui isteri tercintanya (Rosmah) menjatuhkan wibawa Rasulullah dengan penganjuran 'Islamic Fashion Show' di Monte Carlo , USA bulan Ogos lepas . Pakaian-pakaian separuh telanjang diperagakan model-model yang terdedah - sexy (termasuk yang memakai t-shirt bertulis perkataan محمد) yang jelas menghina Rasulullah . Mesej Najib - Rosmah adalah Islam sangat toleran . Pakaian tutup aurat lebih-lebih lagi purdah tidak digalakan didalam Islam , yang penting fesyen boleh bawa untung besar . Demi wang hukum Islam tentang aurat bisa dinoda .


ii) Najib seperti kebanyakan pemimpin-pemimpin umat Islam dihampir seluruh negara-negara OIC tetap enggan mengiktiraf kerajaan Hamas sebagai wakil sah Palestin tetapi terus mengiktiraf 'budak' Amerika PLO - Mahmud Abbas sebagai kerajaan yang sah . Malaysia pimpinan Najib nak beritahu dunia , Hamas terpalit dengan keganasan dan tak sesuai dengan Islam sederhana yang ditaja oleh Najib !


iii) Najib terus promosikan industri judi besar-besaran di Malaysia tanpa ada langkah-langkah pengurangan . Yang pasti orang-orang barat akan kata Islam agama yang sangat toleran kerana industri judi sangat subur dinegara yang dikatakan sebagai "Negara Islam Contoh"


Al-Baqarah (204) :

"Dan diantara manusia ada yang percakapannya tentang kehidupan dunia mengkagumkan kamu (Muhammad) dan dia bersaksi kepada Allah mengenai hatinya , walhal dia adalah penentang yang paling keras"


Kempen Islamic Phobia oleh Najib tidak lebih daripada retorik untuk promosi imej politik Najib . Semuanya tidak terlepas daripada sebahagian perancangan Penasihat Yahudi APCO yang Najib bayar sebanyak RM 77 Juta setahun .



Fesyen tajaan Rosmah yang menghina Rasulullah

Khamis, 21 Oktober 2010

TENTANG DOA PUN UMNO KELIRU

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang 'dikecohkan' sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya "malu") dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: "Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?"

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan "sejahtera" itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.


Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh - bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

Kita memberitahu dunia "Islam adalah agama yang rahmat". Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, "assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".

Walaupun Nabi SAW - seperti riwayat al-Bukhari - dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan "assalamualaikum" sahaja. Perkataan "assalamualaikum" itu memang bermaksud "kesejahteraan ke atas kamu".

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan "salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam". Tidakkah "salam sejahtera kepada bukan beragama Islam" itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru "Salam 1Malaysia" juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

Nabi jampi orang gila bukan Muslim

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: "Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar".

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu 'Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.

Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau 'Umar bin Al-Khattab". (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.


"Artikel Dr. Asri Zainal Abidi yang dipetik dari Malaysiakini ."

Selasa, 19 Oktober 2010

MUZAKARAH ADUN LOMPAT PARTI

MUZAKARAH ADUN LOMPAT PARTI – Beberapa persoalan yang cuba disembunyikan.
Saya ingin memberikan beberapa penjelasan tambahan berkenaan isu ADUN lompat parti khususnya kejadian 26/01/09 hinggan 03/02/09 yang berlaku di Perak. Merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Puteri UMNO Perak dan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Perak (MS PK4 Akhbar Sinar Harian 18/10/10). Juga merujuk (MS PK5 akhbar yang sama) tentang pandangan Mufti Perak bahawa lompat parti adalah dibenarkan dalam Islam dengan syarat ADUN lompat terus berkhidmat kepada pengundi.
Berikut penjelasan saya :

i) Muzakarah 17/10/10 yang diadakan di sebuah Hotel di Ipoh adalah sepenuhnya inisiatif peribadi
Dato Thasleem Mohd Ibrahim, Pengerusi Majlis Tindakan India Muslim Malaysia (MTIMM). Faktor utama yang beliau rasakan ‘wajib’ mengadakan majlis tersebut adalah kerana sebagai seorang Muslim beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena tentang fenomena ADUN lompat dari segi perspektif Islam. Sementelahan pula pelbagai surat yang beliau hantar kepada pihak-pihak yang berkelayakan termasuk kepada majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti-mufti Negeri tidak mendapat jawapan. Yang adapun daripada mufti Perak bukan jawapan dari Majlis Fatwa Perak tetapi pendapat peribadi yang tidak langsung disertakan hujjah-hujjah Al Quran, Al Hadis ataupun pandangan ulama muktabar. Untuk berlaku adil, penganjur telah menjemput semua pihak yang berkepentingan Islam termasuk ulama-ulama , parti politik, Kedutaan Asing dan NGO-NGO Islam.

ii) Untuk pemimpin-pemimpin UMNO mengatakan muzakarah tersebut retorik dan membuang masa adalah keterlaluan . Membedah siasat kemungkaran untuk dijadikan satu iktibar kepada generasi mendatang bukan membuang masa! Menentang kemungkaran bahkan berkait langsung dengan persoalan keimanan dan persoalan dosa serta pahala.

iii) Islam adalah agama yang syumul (sempurna). Jika persoalan sekecil masuk keluar tandas pun ada adab dan nilai pahala/dosa tidak mungkin persoalan politik yang besar seperti ADUN lompat, pecah amanah tentang janji kepada pengundi, kepada pekerja dan pemimpin parti (yang berhabis-habisan semasa kempen piliharaya) tidak ada hukumnya dalam Islam. Pecah amanah adalah sifat-sifat orang munafiq.

iv) Persoalan ADUN lompat kerana kononnya demi menyelamatkan bangsa adalah juga perkara yang sangat subjektif dan perlu di adili. Benarkah ada penggadaian bangsa oleh Kerajaan PR Perak (KPRP) (March 2008 – Februari 2009). Jika memberikan geran bantuan kepada Sekolah-Sekolah Swasta Cina oleh KPRP dianggap menggadai bangsa kenapa ADUN-ADUN yang sama tidak mengistiharkan tidak lagi menyokong Kerajaan BN Perak (KBNP) apabila Dr. Zambry mengumumkan bantuan RM 400,000 kepada setiap Sekolah Swasta Cina dan menyerah tanah seluas 1,000 Hektar kepada Sekolah-Sekolah yang sama pada awal tahun ini. Bahkan antara acara rasmi awal Dr. Zambry sebagai MB Perak pada 08/02/2009 (hari ke 3 menjadi MB) adalah lawatan dan anugerah RM 100,000 kepada sebuah kuil di Ipoh. ADUN-ADUN Behrang dan Changkat Jering tak pernah pula membantah . Tidak hairan kerana mufti pun tidak beri respon!

v) Adakah sesuatu yang wajar bagi satu parti politik yang memperjuangkan bangsa dan agama (UMNO) dan ADUN-ADUN lompat yang keluar PR dengan alasan nak selamatkan bangsa terpalit dengan pelbagai perkara yang memalukan agama dan bangsa (ingat bagi orang-orang Melayu Islam dan Melayu itu sinonim). Bagi Umno & agen-agen upahannya, mereka terpalit dengan perangkap rasuah, perangkap sex, culik dan ugut ADUN (26/01/09 – 03/02/09). Bagi ADUN-ADUN lompat pula rela untuk di culik, ugut dan diberikan pelbagai imbuhan. Ingat Islam tidak pernah mengizinkan perlakuan dosa demi sesuatu perjuangan yang kononnya benar. Falsafah “tujuan menghalalkan cara” ciptaan laknatullah Machiavelli yang dianuti secara taat oleh UMNO adalah falsafah neraka.

vi) Untuk Mufti Perak secara ‘Superficial’ memberikan hukum lompat ADUN adalah harus (atau? Sunat) tanpa kajian teliti, tanpa merujuk kepada rakan-rakan Ahli majlis Fatwa Negeri yang lain adalah satu tindakan tidak amanah kepada tugasnya. Tidakkah Mufti ingin mengambil kira faktor-faktor : latar belakang kes, perangkap-perangkap mungkar yang digunakan, imbuhan-imbuhan yang diberi dan pelbagai lagi. Menjatuhkan hukum tidak semudah memberikan ceramah “Melayu hilang kuasa jika berpecah” yang menjadi zikir dan mantera Mufti Perak kini. Yang pasti adalah Melayu akan hilang kuasa jika Islam tidak dijadikan dasar perjuangan dan pemerintahan. Kerana Melayu-Melayu yang nak diajak bersatu sudah mencapai angka jutaan adalah penghidap-penghidap HIV, penagih dadah, pelaku zina & anak-anak luar nikah, perasuah-perasuah, pembunuh dan pelaku bunuh diri (suicide).

vii) Jika pula Mufti Perak mengetahui latar belakang kes (perangkap sex, culik, rasuah dan sebagainya) tetapi akur tentang lompat parti dan rampas kuasa BN terhadap Kerajaan PR Perak itu sesuatu yang absah, tindakan mufti tersebut adalah merupakan amalan-amalan dan sikap assobiyah yang sangat klasik. Menyokong kezaliman kerana pelakunya kawan atau puak-puak yang kita suka adalah tindakan yang sama zalim dan ditolak oleh Rasulullah sebagai bukan dari golongan orang-orang yang beriman. Untuk mufti mengatakan ADUN lompat tersebut bersih dari segala noda mungkar tajaan pemimpin-pemimpin besar UMNO adalah petunjuk bahawa mufti sangat naïf dan tidak berwibawa. Jika beliau mendakwa memang naïf, penulis dapat membuktikan ianya satu pembohongan. Pada 03/02/09 jam 10.00 malam di kediaman mufti, penulis sendiri bersama 5 orang saksi memperdengarkan bukti sahih bagaimana rintihan seorang isteri ADUN lompat minta ditolong kerana suaminya diculik oleh agen-agen UMNO. Takkan mufti sudah lupa.

viii) Akhir kalam untuk UMNO menolak hadir muzakarah ilmiah dan syarie anjuran NGO bebas pada 17/10/10 sedangkan PAS hadir dengan segala amanahnya adalah bukti dan testimoni bahawa UMNO tidak berani berhadapan dengan kebenaran hujjah-hujjah agama. Setakat berani berhujjah dengan retorik bangsa Melayu dan agenda pembangunan yang entah kemana adalah terlalu rapoh. Bahkan terkini Presiden UMNO Dato Najib juga mengakui isu pembangunan sebagai agenda mendapatkan sokongan sudah tidak berkesan. Maknanya apa ? Rakyat semakin berilmu, celik, kritis dan bijak untuk menilai : Ilmu & intelek Vs retorik, moraliti Vs korupsi dan demokrasi, syura Vs anarki & Machiavelli.

Sekian, untuk renungan terakhir, mari bersama meneliti hadis berikut :

“Tiada seorang pun pemimpin yang mengendalikan urusan orang-orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh menguruskan mereka dan tidak memberikan nasihat (agama) kepada mereka, melainkan dia tidak akan dapat masuk syurga bersama-sama mereka”. (H.R. Muslim)


Saudaramu dalam Iman,

Dr. Hj. Khairuddin Bin Dato’ Abd. Malik
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak
Ahli Majlis Perunding MAPIM.

Isnin, 18 Oktober 2010

UMNO Perak Pengecut

Tanggal 17/10 sepatutnya mencetuskan satu sejarah di Hotel Excelsior , Ipoh . Seorang tokoh India Muslim , Datuk Tasleem Muhammad Ibrahim telah berusaha segigihnya untuk membawa PAS dan UMNO untuk bermuzakarah atas tajuk "ADUN lompat mengikut pandangan Islam" . Undangan dibuat seawal 10/09/10 . DS Nizar dijemput dengan dua ulama' PAS dan DS Zambry Kadir juga dijemput dengan dua orang ulama' UMNO . Jam 3 Pm , 14.10 - Ds Zambry menolak jemputan dengan alasan beliau ada urusan lain . Hai takkan dalam UMNO Perak ni , DS Zambry tak boleh hantar salah seorang EXCO , Wakil Rakyat atau Penasihat Agamanya . Kan banyak ulama' dalam UMNO kerana tahun ini saja 40 orang ulama' muda menyertai UMNO . Jelas , Ds zambry dan UMNO pengecut . Benar sangat kata pepatah Melayu "Berani kerana Benar , Takut kerana salah . UMNO takut berhujah kerana sememangnya perjuangan mereka diselaputi kebatilan .

Tak semena - mena Ketua Puteri UMNO Perak mencemuh muzakarah tersebut sebagai membuang masa . Katanya UMNO tak perlu hadir kerana tidak ada ADUN UMNO yang melompat . Beliau bukan tak tahu , ADUN PAS pun tidak ada yang melompat . Tetapi PAS bersikap terbuka untuk berbincang tentang satu isu yang sangat relevan tentang apa yang menjadi punca kepada krisis politik di Perak sepanjang 2 tahun ini . Memang benar ADUN UMNO tidak melompat tetapi bukan rahsia lagi ADUN - ADUN PKR melompat kerana usaha - usaha jahat dan mungkar yang ditaja oleh UMNO dan konco - konconya seperti SPRM . UMNO tanpa mempedulikan persoalan halal dan haram , dosa dan pahala telah memaksa dua ADUN tersebut melompat dengan kaedah - kaedah perangkap seks , perangkap rasuah , ugutan , "CULIK" dan pemberian pelbagai imbuhan .

Inilah yang nak dimuzakarahkan seperti kata Datuk Tasleem sebagai moderator adakah kerajaan Barisan Nasional yang dibentuk pada 6/2/09 adalah haram disisi Islam , jika haram tentulah segala tindak tanduknya sepanjang pemerintaha BN tersebut juga dianggap haram . Perkara yang asalnya haram akan tetap haram .

Kesimpulannya UMNO jelas terbukti sebuah organisasi sekular yang wajib dijauhi oleh seluruh orang orang yang beriman . Kerana UMNO menjadikan falsafah "tujuan menghalalkan cara" ciptaan Machivelli sebagai prinsip perjuangan mereka .

"Wassalam , Jumpa lagi"