sekadar renungan bersama..

Sabtu, 22 Jun 2013

PENIPUAN PILIHANRAYA ADALAH MUNGKAR BESAR...BERJIHADLAH.

1. Hari ini tercatat dengan banyak peristiwa bersejarah, BLACK 505 622 di Kuala Lumpur.Kehadiran puluhan ribu pejuang kebenaran dan keadilan dalam keadaan tekanan dan provokasi melampau daripada pihak berkuasa sudah merupakan kejayaan yang membanggakan.Terang dan jelas, tiada langsung unsur mengajak rakyat menjatuhkan kerajaan secara jalanan. Yang terpampang adalah desakan supaya reformasi pilihanraya dilakukan secepatnya. Pengerusi dan Timblalan Pengerusi SPR wajib berundur kerana alasan yang mudah: PRU 13 terbukti penuh penipuan dan menyelewengi kehendak amalan demokrsi yang sihat.Pasti ada orang  yang mesti mengambil tanggungjawab. Siapa lagi kalau bukan orang no 1 dan orang no 2.

2. Persoalan yang ditimbulkan oleh ramai penyokong-penyokong UMNO-BN khususnya yang menuduh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebagai pengacau dan pelanggar undang-undang tidak berbangkit. Permohonan dan perundingan pihak penganjur dengan pihak berkuasa PDRM dan DBKL adalah testimoni bahawa PR dan NGO-NGO penganjur adalah kumpulan sivil yang bertanggungjawab. Sudahlah dinafikan hak berhimpun, provokasi yang merbahaya pula dicetuskan oleh pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.

3.Timbul pula isu penangkapan dan kemungkinan pendakwaan naib presiden PAS, Dato' Husam Musa dibawah akta hasutan kerana kononnya mengungkapkan perkataan 'syahid fi sabilillah' bagi memotivasikan rakyat tentang keperluan bangkit menentang penipuan PRU 13.

4. Penulis tidak ingin mencampuri urusan pihak PDRM. Sekadar mengingatkan semua pihak bahawa berlaku adillah terhadap apa sahaja kenyataan yang dianggap berpotensi mencetuskan ketidaktentuan dan kacau bilau dalam negara ini. Berapa banyak kenyataan-kenyataan yang sangat 'seditious' telah diucapkan dan ditulis dimerata akhbar dan majlis keramaian oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Kenapa tiada tindakan langsung? Sejak bila pemimpin-pemimpin UMNO kebal disisi undang-undang?

5. Lagipun samada mengungkapkan perkataan syahid sebagai 'seditious' banyak bergantung kepada kesedaran dan kefahaman beragama seseorang.Seluruh ahli-ahli gerakan Islam memang diterapkan supaya mencintai mati syahid kerana itulah ajaran Rasulullah yang tak siapa pun boleh mempertikaikan. Anugerah syahid oleh Allah tidak berlaku dengan mudah kerana syahid sebegitu hanya boleh berlaku dengan dua prasyarat terpenting ia itu ikhlas kerana Allah dan terlibat dalam perjuangan menegak dan mempertahankan Allah, RasulNya dan AgamaNya.

6. Bagi ahli-ahli gerakan Islam hanya ada dua cara untuk menegakkan daulah Islamiyyah. Perjuangan jihad mengangkat senjata atau perjuangan damai melalui pilihanraya.Di Malaysia ahli-ahli gerakan Islam memilih pendekatan damai melalui pilihanraya.Maknanya menyertai pilihanraya adalah jihad berpahala besar.Namun apabila pilihanraya tidak berjalan dengan adil, telus dan bersih daripada rasuah dan manipulasi, adakah ahli-ahli gerakan Islam sekadar boleh berkata :" tak apa kita cuba lagi, 5 tahun bukan lama"!

7. Islam pasti menang jika pilihanraya berlaku dengan adil  dan telus. Hujjahnya mudah. Risalah Islam adalah terbaik, menepati fitrah dan bersifat rahmah (penyelamat).Ahli-ahli gerakan Islam pula adalah insan-insan soleh yang pasti mempamerkan kecantikan akhlak dan kepimpinan menarik.Mereka pula gigih bekerja tanpa mencari laba dunia. Siapa yang tak terpikat dengan penampilan dan perjuangan sebegini? Dimana sahaja gerakan Islam yang terlibat dalam pilihanraya (Mesir,Tunisia dll) sedang mencipta kemenangan dan membentuk kerajaan.

8. Untuk apa mereka membentuk kerajaan? Tidak lain adalah untuk menegakkan syariah Islam yang sempurna dan bakal menyelamatkan ummah daripada gejala riddah dan kerosakan akhlak serta rasuah.Menipu dan memanipulasi pilihanraya akan paling mencederakan kumpulan Islam.Akibatnya potensi menegakkan pemerintahan Islam juga terhalang.Maka tidakkah tepat apabila Presiden Majlis Ulama Sedunia  mengkategorikan penipuan dalam pilihanraya adalah mungkar besar? Jika setuju, tidakkah kita juga bersetuju bahawa memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil, telus dan bersih adalah satu jihad besar?

9. Turut sama menyertai jihad besar ini tentulah mendapat anugerah besar daripada Allah. Lupakah kita pesanan Rasulullah bahawa "jihad yang paling afdhal adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim".Zalim kah pemimpin-pemimpin UMNO? Rujuklah Al Quran dan hadis-hadis mengenai takrif kezaliman.Kezaliman utama adalah syirik kepada Allah dan meolak berhukum dengan Al Quran.

10. Sekadar berkongsi diakhir kalam.Apa kata Dr Yusuf Qaradawi mengenai pemimpin-pemimpin dikalangan ummat Islam yang enggan melaksanakan perintah-perintah Allah yang syumul berkaitan urusan bernegara dan undang-undang disamping mempertahankan undang-undang ciptaan manusia.Inilah istilah yang beliau gunakan:"Mereka adalah golongan munafik, walaupun mereka bersembahyang dan menunaikan haji."Semoga kita tidak tergolong dan tidak terlibat mempertahankan golongan munafik sebegitu walau dimanapun mereka berada didunia ini.

Selasa, 18 Jun 2013

Bangunlah wahai para pejuang, BLACK 622 Hari Perjuangan.

Mari kita meneliti hadis berikut: " Janganlah kamu jadi pak turut yang berkata: aku bersama orang majoriti, kalau mereka melakukan kebaikan aku (juga) melakukan, kalau mereka melakukan keburukan aku juga melakukan. Tetapi hendaklah kamu perkuatkan diri kamu, kalau orang ramai melakukan kebaikan maka kamu juga hendaklah melakukannya dan kalau mereka melakukan keburukan hendaklah kamu jauhi
keburukan mereka". H.R At Turmidzi.

2. Seluruh rakyat pencinta kebenaran perlu akur pandangan ulama muktabar Dr Yusuf Al Qaradawi yang mengkategorikan penipuan dalam pilihanraya sebagai salah satu kemungkaran akbar yang wajib dibenteras.Sekadar mengulangkaji kenapa pandangan beliau begitu tegas? Alasannya mudah. Beliau menyatakan betapa dalam amalan Islam, melantik pemimpin adalah satu kewajiban dan wajib juga dilakukan secara mesyuarah. Beliau mengkategorikan pilihanraya sebagai satu proses syura rakyat yang wajib dilaksanakan dengan penuh telus dan adil.

3. Natijah pilihanraya yang berlaku penipuan dan rasuah adalah pihak yang benar tetapi tiada kuasa manipulasi dan kekurangan dana akan tumpas kepada pihak yang batil tetapi menguasai jentera manipulasi dan memiliki kuasa beli pengundi dengan amalan rasuah berskala massa. Akibatnya pilihanraya tidak berhasil  mencungkil kepimpinan yang benar dan amanah. Sebaliknya negara akan sangat terdedah kepada penguasaan kumpulan dan individu kepimpinan yang rasuah dan rosak moral.

4. Pemimpin-pemimpin rasuah dan bermoral rendah adalah juga insan yang rosak akidah. Apa alasannya? Mudah, insan yang tidak takut untuk melakukan dosa, tidak takut untuk memiliki darah dan daging yang bersumberkan makanan haram daripada duit rasuah adalah insan-insan yang kurang yakin kepada konsep dosa/pahala dan neraka/syurga.

5. Pemimpin-pemimpin yang rosak atau lemah akidah sudah tentu pula tidak sensitif tentang segala aktiviti sosial dan amalan budaya songsang yang berlaku sepanjang era pemerintahannya.Jika ramai rakyat yang cenderung kepada aktiviti-aktiviti mungkar, pemimpin jenis itu akan akur sahaja demi menjaga popularitinya.Bahkan dia pula yang akan secara aggresif mempromosi dan menganjurkan pesta-pesta hiburan mungkar sedemikian untuk melengkapkan agenda 'biarkan rakyat lemas asalkan kuasa kumiliki'.

6. Itulah intisari penting hadis di atas guna mendidik ummah untuk berpegang kepada kebenaran dan kekal menyokong kumpulan yang mempertahankan kebenaran. Kebatilan wajib ditentang dan dibenteras sekalipun  majoriti rakyat leka hilang kepedulian.Benar, sebahagian besar masyarakat Melayu khususnya diluar bandar tidak sensitif tentang isu-isu integriti, ketelusan dan keadilan. Namun mereka bersikap sedemikian adalah kerana agenda terancang pemimpin-pemimpin dan parti yang mempunyai ideologi sekular dan pragmatis.

7. Para pejuang tiada pilihan. Ikutlah pesanan Rasulullah diatas. Perjuangan yang benar tidak ditentukan oleh majoriti yang menolak kebenaran.Ia ditentukan oleh iltizam dan cinta kita kepada kebenaran.Mari kita mengajar rakyat untuk bersama dan mempertahankan kebenaran.BLACK 622 adalah hari kemenangan kebenaran mengalahkan kebatilan.Semoga Allah merahmati kita semua...ikhlaskan niat, hanya kerana Allah.

Jumaat, 14 Jun 2013

KEMUNAFIKAN GEJALA YANG RAMAI SUDAH LUPAI

Banyak dinukilkan di dalam kitab suci Al Quran tentang golongan munafik dan sifat2 mereka.Saudara boleh lah rujuk surah2 At Taubah 9:61-69 dan surah An Nur 24: 47-50.

Antara intisari ayat-ayat tersebut mengenai sifat-sifat golongan munafik adalah:

1. Mereka suka menyakitkan hati Rasulullah dengan permainan kata-kata sinis, mengejek.

2 .Mereka suka bersumpah demi mencari keredhaan manusia.

3. Tidak 'serious' dan suka berolok-olok, berdolak dalik dalam menanggapi ayat-ayat Al Quran.

4. Menegakkan kemungkaran dan menghalang kebaikan. Suka anjurkan program-program maksiat.

5. Sangat kedekut terutama dalam aktiviti-aktiviti kebajikan dan jihad fisabilillah.

6.Suka mengulangkata bahawa mereka sebenarnya beriman kepaa Allah dan RasulNya.

7. Apabila diajak berhukum dengan perintah Allah dan Rasul, mereka selalunya enggan.

8. Ada ketikanya mereka mahu mengikuti perintah Allah dan Rasulullah, jika memberi untung dunia.

9. Hati mereka senantiasa penuh keraguan kepada perintah Allah dan Rasulullah.

10. Prasangka buruk kepada Allah yang kononya menzalimi mereka.

Setelah kita meneliti sifat-sifat munafik yang dijelaskan oleh Allah, pastikan kita berusaha tidak terjerumus dalam kancah kemunafikan. Juga janganlah kita menyokong atan bersimpati dengan golongan munafik tersebut,Yang ingin penulis tekankan disini adalah sikap kebanyakan kita yang melupai golongan dan gejala kemunafikan ini kerana tumpuan berlebihan  kepada kebangkitan kafir khususnya Yahudi. Tak ada salahnya sikap berhati-hati tersebut.Namun jangan lupa, kebangkitan Islam pasti terganggu jika musuh dalam selimut tidak diawasi dan tidak dibenteras.

Dalam konteks Malaysia, apa nilaian kita kepada pihak-pihak yang terus bertahan dan enggan menutup pintu-pintu dan tingkap-tingkap kemungkaran seperti judi , kilang arak, rumah-rumah pelacuran , kelab-kelab hiburan lucah dan amalan rasuah dan pembolotan khazanah negara. Pada masa yang sama pihak-pihak tersebut sangat kuat sekatannya terhadap majlis ilmu, halaqah dan himpunan-himpunan aman kearah islah sebenar. Cekikan kepada instituisi ilmu seperti masjid-masjid dan universiti-universiti sangat mencengkam dan merisaukan.

Jangan juga kita lupa pesanan Rasulullah tentang sifat-sifat tambahan golongan munafik: Bila bercakap dusta, bila berjanji mungkir dan bila diberikan amanah dia khianat. Penulis sekadar ingin mengajak rakyat berfikir sedalam-dalamnya betapa tidak amanahnya sebahagian penguasa kita.Bukankah amanah terbesar jika diberi kepimpinan adalah memberikan ketaatan sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya demi menyelamatkan ummah dan memakmurkan negara dengan Islam.

Kenapa ragu dengan Islam? Bukankah janji Allah itu benar bahawa syariat Islam itu adalah rahmat kepada seluruh manusia dan seluruh alam.Gamitlah Islam dan hindarilah kemunafikan.Insya Allah Malaysia diberkati.
,