sekadar renungan bersama..

Selasa, 14 Jun 2011

RENUNG-RENUNGKANLAH : AKHIRAT DIDAHULUKAN TAQWA DIUTAMAKAN

Tazkirah Sempena Isra’ Mikraj.

“Dan tidakkah manusia memperhatikan bahwa kami menciptakannya daripada setitis air mani (yang hina), ternyata dia menjadi musuh yang nyata!”

(Yaasin 36 : 77)

“Dan Dialah yang telah menciptakan bagimu pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, tetapi sedikit sekali kamu bersyukur.”

(Al-Mukminun 23 : 28)

“Maka apakah kamu mengira bahwa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

(Al-Mukminunu 23 : 115)

Bulan Rejab datang lagi dan setiap tahun kita memperingati peristiwa 27 Rejab, iaitu peristiwa Isra’ Mikraj. Isra’ adalah pengembaraan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Baitul Maqdis dan Mikraj pula pengembaraan Rasulullah dari Masjid Al-Aqsa menuju Sidratul Muntaha – perjalanan melepasi langit pertama hingga ke langit ke tujuh dan berakhir dengan pertemuan langsung dengan Allah bagi menerima perintah Solat fardhu lima waktu yang difardukan kepada seluruh ummat Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya peristiwa Isra’ Mikraj adalah anugerah besar Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w lantaran kejadian-kejadian sedih : kematian orang-orang yang dicintainya, Saidatina Khadijah (isteri tersayang) dan bapa saudaranya Abi Thalib.

Maknanya bagi orang-orang yang beriman, perintah-perintah Allah seperti solat dan tawaran Allah tentang Syurga dan ancaman Allah tentang Neraka (yang diperlihatkan langsung kepada Rasulullah semasa Mikraj.) adalah faktor-faktor pengukuh iltizam untuk mengukuhkan iman bagi mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Solat pula adalah satu-satunya ibadat yang mampu menghapuskan dukacita dan kekecewaan orang-orang yang beriman dalam menghadapi segala dugaan hidup. Bukankah solat itu komunikasi langsung seorang beriman terus kepada penciptanya, Allah.

Peristiwa Isra’ Mikraj sepatutnya menjadikan kita orang-orang yang sentiasa memikirkan tentang nasib masa depan kita di akhirat kelak – samada Berjaya (mendapat syurga) atau gagal (memasuki neraka). Sesungguhnya bagi orang-orang beriman kehidupan dunia ini adalah rendah nilainya berbanding kehidupan akhirat yang kekal.

“…….Celakalah bagi orang yang ingkar kepada Tuhan kerana seksaan yang sangat berat. (yaitu) orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada (kehidupan) akhirat, dan menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan (jalan yang) bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh.”

(Ibrahim 14 : 2 – 3)

Inilah cabaran terbesar kehidupan umat Melayu kini – gagal untuk meletakkan keutamaan matlamat hidup. Sebagai renungan, mari kita muhasabah tentang hal-hal berikut :

  • Berapa ramai umat Melayu yang mengabaikan solat?
  • Berapa ramai orang Melayu yang menaja, melakukan dan menyokong kemungkaran dan kezaliman?
  • Berapa ramai umat Melayu yang mengabaikan tuntutan zakat dan enggan bersedekah?
  • Berapa ramai orang Melayu yang setiap hari redho dan suka mendengar berita-berita fitnah dan suka menonton hiburan lucah dan dedah aurat?
  • Betapa orang-orang Melayu sudah boleh menerima kejahatan seperti mengedar dan menonton filem lucah hanya kerana kepentingan politik sempit.
  • Bahkan orang-orang Melayu sudah kempis imannya apabila senantiasa bersikap pasif terhadap kebejatan yang berleluasa seperti rasuah, judi, zina dan arak. Sebahagian daripada kita mampu berkata “Tak apa, asalkan Melayu.

Apakah erti sambutan Isra’ Mikraj yang disambut setiap tahun jika sekadar memperingati tetapi gagal mengambil ikhtibar. Bukankah dalam pengembaraan Rasulullah tersebut ditontonkan tentang pelbagai azab neraka yang sudah pasti akan dikenakan bagi individu-individu yang ingkar kepada perintah Allah tanpa mahu bertaubat walaupun diberikan peluang. Tidakkah kita insaf apabila Allah memberitahu kepada Rasulullah dalam hadis Qudsi bahawa daripada 1000 umatnya, 999 orang akan masuk Neraka dan hanya 1 akan masuk Syurga. Yang lebih rugi adalah individu-individu yang sanggup mempertaruhkan masa depan akhiratnya semata-mata kerana mempertahankan kebatilan pemimpin-pemimpin yang sesat lagi menyesatkan.

Ketika zaman fitnah berleluasa sekarang,ramai manusia terjebak dengan kemurkaan Allah: gagal membedakan antara kebaikan dan kejahatan dan ramai keliru mengenali pemimpin yang soleh berbanding pemimpin yang fasik dan zalim.Tepat seperti yang dinukilkan didalam Al-Quran:

“Jangan kamu mematuhi setiap orang yang suka bersumpah dan menghina.Yang suka membisikkan (celaan) dan menyebarkan fitnah” ( Al Qalam:10-11)

Maka apakah ubat kepada segala penyakit umat Melayu kini? Tidak yang lain kecuali kembali berpegang teguh dengan segala perintah Al Quran dan Al Sunnah rasul yang mulia.Antaranya mencari ilmu dan menyebarkan ilmu, suburkan ziarah dan persaudaraan iman,saling nasihat menasihati dengan kebenaran dan mencalunkan diri untuk turut serta menjadi petugas jihad membantu menegakkan agama Allah dimana sahaja anda berada.

“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat Kami dan menyombong diri terhadapnya, tidak akan dibukakan pintu langit bagi mereka, dan mereka tidak akan masuk syurga, sebelum unta masuk ke dalam lubang jarum. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang berbuat jahat.”

(Al-A’raf 7 : 40)

“ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan