sekadar renungan bersama..

Rabu, 22 Ogos 2012

UMNO , RAMADHAN & TAQWA


Bulan puasa juga dikenali sebagai bulan Al-Quran dan bulan mendidik Taqwa. Ketaatan kepada Allah dan RasulNya adalah ciri utama bagi orang-orang yang bertaqwa. Secara mudah sesiapa yang mentaati Allah dan RasulNya wajib pula berpegang teguh dengan ajaran dan perintah-perintah Al Quran dan sunnah-sunnah Rasulullah.

Ramadhan adalah peluang terbaik untuk mendidik nafsu manusia supaya merasa kecil dan kerdil dihadapan keagungan Allah. Dari waktu subuh sehingga maghrib, seorang muslim dididik untuk tertib mematuhi perintah-perintah Allah yang pada hari-hari biasa tidakpun dikategorikan sebagai dosa. Makan, minum, bergaul suami isteri bukan perkara haram selagi anda makan yang halal, minum yang halal dan melakukan hubungan kelamin yang sah.

Namun dalam Ramadhan perkara-perkara yang biasanya halal dan  memang hak anda dilarang oleh Allah untuk dilakukan. Falsafahnya mudah – taqwa yang dilatih dalam Ramadhan akan melahirkan muslim yang mematuhi perintah Allah dan Rasul bukan kerana persoalan rational, hak, logik dan sesuai atau tidak dengan zaman. Taqwa menuntut taat kepada Allah dan RasulNya tanpa soal, tanpa pilih dan tanpa musim.

Maka dalam Al Quran dinyatakan secara pasti, berpuasa akan mendidik taqwa.
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al Baqarah : 183)

Namun mematuhi perintah hukum jenayah Islam seperti Qisas juga melahirkan taqwa.
“Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal , supaya kamu bertaqwa.” (Al Baqarah : 179)

Hanya dengan ketaqwaan sahajalah kejayaan yang sebenar akan diperolehi.
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut kepada Allah serta bertaqwa kepadaNya,  maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.”       (An Nuur : 52)



Persoalan yang nak dibincang dalam artikel ini adalah pendekatan dan tindakan pemimpin-pemimpin UMNO berhadapan dengan latihan taqwa yang mereka lalui sama dengan muslim lain. Adakah mereka belajar apa-apa iktibar dalam Ramadhan dulu, kini dan akan datang ?

Untuk memudahkan perbincangan penulis sekadar ingin memetik beberapa kes contoh.

i)          Penglibatan keluarga Dr. Mahathir dalam penguasaan saham syarikat arak terbesar di Filipina, San Miguel dengan pelaburan sebanyak RM 2.9 Billion. Untung besar berniaga arak lantas pula menguasai syarikat minyak Petron.

ii)         Percubaan sabotaj oleh pemimpin-pemimpin UMNO keatas kredibiliti Kerajaan PR Selangor dengan ugutan kepada rakyat tentang catuan air kerana kononnya Kerajaan PR gagal untuk mengurus masalah air di Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur.

iii)        Kedegilan berterusan pemimpin-pemimpin UMNO untuk mendera rakyat Kelantan dan menafikan hak mereka untuk mendapat nikmat anugerah Allah iaitu royalti minyak yang bernilai hampir RM 7 Billion. Bahasa mudahnya kerajaan UMNO/BN berlaku zalim kepada rakyat Kelantan yang 97 % adalah orang Melayu Islam.

iv)        Pendakwaan kepada sdr. Rafizi Ramli dan Johari kerana mendedahkan penyelewengan skandal NFC melibatkan kerugian RM 250 juta wang rakyat. Sudahlah didakwa, pihak berkuasa polis berlagak melampau dengan ‘serangan’ waktu subuh seolah-olah Rafizi yang makan rasuah 250 juta.

Premis perbincangan ini mengambil apa yang UMNO dakwa dan sifatkan parti dan perjuangan mereka. UMNO parti Melayu berteraskan Islam. UMNO parti Islam terbesar di dunia. UMNO lah yang memacu pembangunan Islam di Malaysia. Ok, kita terima sahajalah puji-puja UMNO terhadap diri mereka.

Semua maklum, parti atau jemaah yang baik akan dan tentu mempunyai pemimpin yang baik, kerana pemimpin adalah lambang parti. Orang boleh menilai ‘content’ perjuangan dan perjalanan sesuatu parti berdasarkan pemimpin yang mengetuainya. Parti yang baik bahkan boleh pula menjadikan ahli-ahlinya yang kurang baik menjadi lebih baik melalui modul tarbiah ruhiyyah dan jasmaniah.

Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin yang baik akan beriltizam dan istiqamah memperbaiki lagi sebarang kekurangan yang berlaku dalam perjuangan parti dalam tempoh yang panjang. Dapatlah dibuat kesimpulan jika seseorang masuk dalam satu perjuangan parti, menjadi pemimpin pula dalam tempoh yang panjang tetapi tetap bergelumang dengan kefasikan dan kezaliman maknanya parti tersebut tidak ada nilai rohani dan kosong nilai tarbiahnya. Rugi besarlah dan buang masa sahaja dalam perjuangan yang tiada roh taqwa.


Dr. Mahathir adalah presiden UMNO selama 22 tahun dan menjadi ahli UMNO lebih 60 tahun. Bolehlah dia digelar Mursyidul Am UMNO.. tetapi apa nilai taqwa yang ada pada beliau apabila rela dan bangga keluarganya memiliki saham arak berbillion ringgit.

Apa pula nilai taqwa pemimpin-pemimpin UMNO dan kroni mereka yang sanggup berdusta? Kononnya rakyat Selangor dan Kuala Lumpur perlu menghadapi catuan air hanya kerana UMNO mempolitikkan isu air di Selangor. Sengaja nak cetuskan kemarahan rakyat kepada Kerajaan Selangor lantaran isu-isu air yang sengaja diputar belit dan didustakan. Apakah nilai puasa orang-orang yang berdusta? 

Kerakusan pemimpin-pemimpin UMNO melanggar amanah Allah dan amanah pemimpin-pemimpin UMNO dahulu( Tun Razak )  tentang royalti minyak hak rakyat Kelantan . Apa hukum ambil hak orang? Untuk apa puasa jika tidak amanah. Jika betul rakyat Kelantan tiada hak keatas royalti tersebut kenapa perlu beri wang ihsan kepada mereka.Bila dah dekat nak pilihanraya tubuhkan pula jawatan kuasa khas tentang hak royalti.Setelah  7 tahun berlalu baru nak kaji? Betapa tidak effisiennya kerajaan UMNO/BN. Sanggupkah Dato’ Najib berhadapan dengan persoalan akhirat nanti mengenai hak rakyat yang sengaja dizalimi?

Puasa latih kita jangan sentuh bahkan kepunyaan sendiri jika Allah larang. Untuk kes minyak Kelantan, UMNO bukan buat dosa kecil tetapi dosa besar kerana rampas hak orang. Letih sahajalah berpuasa.

Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan perbuatan yang sifatnya menipu(ketika berpuasa) maka Allah tidak memerlukan untuk dia meninggalkan makanannya dan minumannya. (HR. Bukhari)

Ramai orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat pahala apa-apa daripada puasanya kecuali haus.  (HR. Nasa’i)

Ramadhan sepatutnya mendidik muslim supaya bersama kebenaran dan menentang kemungkaran. Rasuah lembu NFC yang melibatkan suami Ketua Wanita UMNO Malaysia bukan isu remeh. Makan duit rakyat beratus-ratus juta bakal menghumban pelakunya memasuki neraka. Mendedahkan skandal NFC adalah kerja jihad dan berpahala besar. Apatah lagi pemimpin-pemimpin besar UMNO sendiri cuba tutup dan melindungi pelaku rasuah.

Islam iktiraf jihad Rafizi dan rakan-rakannya. Tetapi UMNO marah dan tangkap Rafizi yang beramal dengan hadis berikut :

“Jihad yang paling afdhal ialah kalimah yang benar kepada pemerintah yang zalim”.             (HR. An Nasai)



Banyak lagi kes-kes yang boleh dibincangkan berdasarkan perspektif taqwa. Bagaimana dengan kes rampasan kuasa di Perak melalui angkara jahat yang diketuai Dato’ Najib. Adakah perangkap sex, ugut, beli dan culik wakil rakyat termasuk dalam ‘syllibus’ taqwa?

Tahun demi tahun seluruh penganut Islam di Malaysia berpuasa demi mematuhi arahan Allah dan mengharapkan keampunanNya. Diakhir Ramadhan seluruh umat Islam mengharapkan dipilih untuk tergolong dalam kumpulan yang mendapat pembebasan daripada seksaan api neraka.

Tahun demi tahun jugalah UMNO terus lalai dan tenggelam dalam agenda melunturkan taqwa. Menjelang berakhirnya Ramadhan marilah kita seluruh rakyat Malaysia yang beriman melakukan Islah dan reformasi berikut :

“Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).” (Al Baqarah : 204)

Jangan jadi golongan pertama diatas tetapi mari kita memilih menjadi golongan berikut :

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.” (Al Baqarah : 207)

Iktibar peperangan Badar yang di istilahkan didalam Al Quran sebagai Yaumul Furqan (hari pembeda kebenaran dan kekafiran) wajib diambil. Yang berperang adalah Arab yang beriman menentang Arab yang musyrik. Yang berperang adalah anak saudara berperang dengan bapa saudara dan keluarga dekat. Baik Melayu atau Arab adalah hampas jika syirik dan zalim. Jadilah Melayu yang kental iman,tinggi kualiti taqwa dan berkobar jihadnya.Jangan sia-siakan hari-hari Ramadhan yang masih berbaki.

Tinggalkanlah perjuangan UMNO. Namun sebagai ahli gerakan Islam berdoalah kita agar Allah memberikan hidayahnya kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO agar balik ke pangkal iman dan taqwa.


Penulis,

Dr. Hj. Khairuddin Bin Dato’ Abd. Malik
Yang di Pertua PAS Kawasan Tambun & Setiausaha Pakatan Rakyat Perak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan