sekadar renungan bersama..

Jumaat, 5 Ogos 2011

Taqwa dan Iman Jangan diAbaikan

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah dengan sebenar-benar hakikat Taqwa dan pastikan jangan kamu Mati kecuali dalam keadaan Islam.”

(Ali Imran:102)

ISLAM – IMAN – TAQWA

Adalah tiga istilah besar yg menjadi tunggak kepada kelangsungan hidup kita sebagai insan yg menginginkan keampunan dan keredhaan Allah guna menempah kemenangan hakiki dalam kehidupan akhirat yang kekal. Orang yang beriman semestinya terlebih dahulu Islam, tetapi tidak pasti lagi orang-orang Islam itu ada imannya.

Taqwa pula adalah darjat istimewa bagi orang-orang yang beriman yang istiqamah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.Bukan semua orang yang beriman memiliki Taqwa tetapi orang-orang bertaqwa sudah tentu memiliki iman.Taqwa hanya diperolehi melaluil latihan-latihan intensif (tarbiah ruhiyyah) secara berkesan dan berterusan.Iman pula sebagai satu keyakinan yang tinggi kepada Allah, kekuasaanNya, peraturan-peraturanNya dan tentang kehidupan akhirat yang kekal, seringkali dikaitkan dengan keupayaan melaksanakan jihad sebagai pembuktian iman.

Orang yang enggan berjuang dijalan Allah terutamanya jika dengan alasan-alasan keduniaan, dikhuatiri tergolong sebagai orang-orang munafik dan mati dalam keadaan su’ul khatimah(mati tanpa iman). Di akhirat kelak, azab yang pedih bakal menanti. Logiknya mudah, jika benar-benar beriman, kenapa enggan berkorban demi Allah dan rasulNya?

"44. Orang-orang Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad Dengan harta benda dan jiwa mereka. dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui akan orang-orang Yang bertaqwa.

45. Sesungguhnya Yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang Yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan Yang hati mereka ragu-ragu. oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya."

(At-Taubah : 44-45)

Langkah seterusnya, adalah menjadi orang-orang yang bertaqwa iaitu orang-orang yang terlatih untuk senantiasa mematuhi arahan Allah dan meninggalkan laranganNya lantaran cintanya kepada Allah. Orang yang bertaqwa senantiasa mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah tanpa bermusim. Taqwa itu seumpama pagar selamat bagi orang-orang yang beriman. Antara ciri-ciri (tiang-tiang pagar) taqwa yang dinukilkan dalam Al-Quran ialah :

· Bercakap benar dan bersama kebenaran

· .Suka bertaubat dan memaafkan.

· Istiqamah menegakkan solat.

· Berjihad (Infaq) di jalan Allah.

Orang bertaqwa juga sangat mengutamakan kehidupan akhirat berbanding dengan kehidupan dunia yang singkat ini.

"36. (ingatlah) Bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta daripada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang Yang lebih baik daripadanya)."

(Muhammad : 36)

Tanpa Taqwa dikhuatiri Bertemu Su’ul Khatimah.

Anda wajib berusaha gigih untuk mati dalam iman dan Islam (Husnul Khatimah). Pertingkatkan ibadah dan ketaatan kepada Allah dengan keikhlasan yang tulen. Banyakkan mengucap pujian-pujian dan kesyukuran diatas nikmat Islam dan Iman yang anda miliki. Anda ingin tahu nilai Islam dan Iman yang anda miliki?

Kalaulah ditakdirkan bahawa Allah mengurniakan dunia dan segala isinya kepada anda tetapi tanpa Islam dan Iman, nescaya segala dunia dan isinya itu akan menjadi bencana kepada anda. Sebaliknya pula, kalaulah Allah mengurniakan Islam dan Iman tetapi Allah langsung tidak kurniakan dunia, maka anda tentu masih selamat…. kerana:

· Orang yang pertama tadi jika mati, tempatnya kekal dalam neraka.

· Orang yang kedua pula, jika mati tempatnya di Syurga.

Oleh itu, tanamkan rasa gerun akan kemungkinan mati su’ul khatimah, kerana dengan sekelip mata sahaja Allah boleh merubah kalbu hambanya. Sesungguhnya, petunjuk dan hidayah itu milik Allah sepenuhnya.Berusaha menjauhi kedurhakaan kepada Allah dan terus berdoa.

Apa yang memungkinkan terjadinya Su’ul Khatimah?

· Golongan yang mengabaikan solat.

· Golongan yang enggan atau tipu berzakat.

· Golongan peniaga yang menipu timbangan dan barangan.

· Golongan penguasa/pemerintah yang menipu, menzalimi dan mencederakan rakyat.

· Golongan pembuat bidaah dalam urusan agama.

· Golongan yang sengaja menimbulkan prasangka terhadap Rasulullah dan syariat Islam.

· Golongan yang ‘menutup’ masjid-masjid daripada tersebarnya dakwah Islam.

· Pengikut-pengikut bodoh yang membuta tuli menyokong kezaliman pemerintah.

Daripada Jabir bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Ka’ab bin ‘Ujrah yang bermaksud : “Semoga kamu dilindungi oleh Allah daripada pemerintahan orang-orang yang bodoh wahai Ka’ab.” Ka’ab bertanya : “Apakah pemerintahan oang yang bodoh itu?” Rasulullah menjawab : “Para pemerintah selepasku yang tidak mengambil petunjukku sebagai petunjuk dan tidak mengamalkan sunnahku. Sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka, menolong kezaliman mereka, mereka bukanlah daripada aku dan aku bukanlah daripada mereka, mereka tidak dapat minum air kolamku (pada hari Kiamat). Sesiapa yang tidak membenarkan pendustaan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, mereka itulah daripadaku dan aku adalah daripada mereka dan mereka akan dapat minum di kolamku.”(Rw Ahmad & Al Bazzar)

Ramadan adalah madrasah taqwa.Semoga anda lulus menjadi graduan Ramadan yang mendapat anugerah Taqwa.

Salam daripada saudaramu dalam Islam Dr Hj.Khairuddin b.Dato’ Abdul Malik,

Pengerusi Jaringan Muafakat NGO Islam Perak& Ahli Majlis Perunding Islam Malaysia (MAPIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan