sekadar renungan bersama..

Selasa, 19 Mac 2013

UMNO YANG MAKSUM, NAJIB YANG MUKHLISIN

Ada pepatah Inggeris bermaksud " orang yang menghuni rumah kaca, jangan melontar batu keluar rumah".Apa makna lainnya? Jika anda tidak begitu baik, jangan cuba bercerita keburukan orang.Sama erti dengan jika perut anda buncit, jangan berceramah tentang penjagaan kesihatan! Juga jika gigi anda kuning berkeladak, jangan jadi jurujual ubat gigi!

Itulah yang PM Najib lakukan di Kelantan pada 15/3/2013.Beliau bercakap tentang tujuh dosa besar PAS dan PR.Sejak bila Najib peduli dan prihatin soal dosa dan pahala? Telahan saya mungkin sejak beliau dibawa bersemuka dengan ulama-ulama Mekah tahun lepas.Alhamdulillah, sekalung tahniah kepada mantan pimpinan PAS yang mengusahakan!

Semua tuduhan PM Najib khusus yang dimomokkan kepada PAS adalah bertaraf fitnah dan petanda kepada kedangkalan ilmu serta penyakit qulub yang kronik.Contohnya tuduhan beliau bahawa PAS berdosa kerana ada persefahaman politik dengan DAP dan PKR.Jawapan sangat mudah bahkan boleh diberikan oleh pelajar-pelajar sekolah tingkatan dua.. Nanti tentu mengaibkan Najib.

Jika PAS berdosa kerana bertahalluf dengan DAP, tidakkah UMNO mempunyai dosa yang lebih besar kerana UMNO bukan sekadar bersepakat dengan MCA tetapi juga dengan MIC, Gerakan, PBS, SUPP, SNAP, PPP dan segala parti non Muslim yang lain.Jangan lupa UMNO ada persefahaman istimewa dengan Parti KomunisChina.

Tuduhan dosa besar PAS yang lain kerana kerajaan Kelantan 'beri' tanah kepada pemimpin-pemimpin DAP Perak.Lagi senang nak jawab.PAS buka peluang pelaburan syarikat yang dimiliki hampir seratus orang yang termasuk dua orang pemimpin DAP Perak untuk tanam pokok getah di tanah tinggi yang dua syarikat terawal gagal kerana rugi.Dimana dosanya? Bukan anugerah tetapi pelaburan berisiko!

Agaknya berpahalakah UMNO kerana menganugerahkan bukit-bukit yang strategik seperti Genting Highland dan Bukit Tinggi di Pahang kepada tauke-tauke untuk buka kasino.Berpahala besar juga agaknya apabila UMNO dan MCA beli tanah orang-orang kampung dengan harga murah dan buat untung berpuluh kali ganda dalam kes PKFZ.Orang UMNO Pahang sangat arif penglibatan Najib dalam anugerah tanah Pulau Tioman kepada billionaire tauke China.Banyak bertimbunnya pahala pemimpin UMNO.

Penulis berkeyakinan  Najib sudah membuka 'floodgate' untuk pelbagai pihak menyerang beliau.Jika Najib enggan berdebat dengan alasan kesiankan Anwar Ibrahim takut terdemam, kali ini Najib bukan sahaja terdemam bahkan terburai.

Mari kita bertanya kepada Najib dan ustaz-utaz UMNO yang celupar membuat fatwa, undi PAS berdosa, undi UMNO berpahala.Adakah bukan berdosa hal-hal yang direncanakan UMNO dan dipaksakan kepada rakyat khususnya saudara seagama Islam.Lihat senarai berikut:

1.Hina dan perleceh,pertikai kewajaran hukum hudud .
2.Luluskan dan kembangkan industri judi
3.Rasuah-rasuah seperti skandal scorpen,NFC dan PKFZ.
4.Mungkir janji royalti minyak Kelantan bernilai RM10.5 bilion
5.Borong kerakyatan kepada pendatang asing untuk menang mudah dalam pilihanraya
6.Pilih syarikat Yahudi sebagai penasihat berbayar dan upah penulis Yahudi untuk jatuhkan Anwar Ibrahim
7.Rentap bantuan perkapita sekolah-sekolah agama rakyat hinggakan banyak yang tutup berkubur
8.Membiarkan pembunuh Altutuya bebas tanpa membenarkan proses undang-undang berjalan lancar
9.Melakukan pendakwaan terpilih secara berleluasa.Orang UMNO bebas, rakyat marhaen dihukum keras
10.Merelakan syarikat keluarga pemimpin besar UMNO Dr Mahathir beli kilang arak bernilai RM2.9 bilion

Senarai sepuluh perkara tersebut masih pendek. Masih banyak lagi yang boleh didedahkan.Penulis belum sentuh isu rampasan kuasa di Perak yang dicaturkan oleh PM Najib.Jangan lupa rampasan kuasa itu melibatkan perangkap pelacur, culik wakil rakyat dan beli wakil rakyat, RASUAH. Apakah itu bukan dosa?

Yang pasti kebencian rakyat kepada pemimpin-pemimpin UMNO kini sudah mencapai kemuncak. Kenapa?Jawapannya  kerana dosa-dosa yang mereka lakukan dan lebih parah tak pula nampak mahu insaf bertaubat..Apa buktinya?

Ramai penganalisa dan ahli akademik percaya PRU 13 sengaja dilambatkan untuk membolihkan manipulasi dan penipuan maksima supaya UMNO/BN terus menang.Maknanya sebahagian besar calon-calon BN yang bakal menang nanti kerana penipuan pilihanraya.Lepas itu nanti jadi wakil rakyat haram, makan elaun haram, jadi menteri haram dan darah daging membiak dengan duit haram.Itulah punca taubat sukar terjadi.Hati keras walaupun perasan suci maksum dan mukhlisin.

Akhirnya apakah nilai 'tarbiah' yang ada dalam UMNO apabila "MURSYIDUL AM" UMNO ia itu Dr. Mahathir (Jadi ahli UMNO lebih 60 tahun, jadi presiden 22 tahun), pada usia 86 tahun seronok melabur dalam syarikat arak San Maguel di Filipina? Apa nak jadi pada UMNO...kasihan.

Isnin, 11 Mac 2013

Karektor Flip Flop Najib dan Lahad Datu

Telah menjadi keyakinan umum, tokoh besar dan hebat akan terserlah kehebatannya di pentas yang mencabar. Sebaliknya pemimpin palsu akan tumpas dan kecundang apabila bertarung di pentas besar dan mencabar.

Sama seperti pasukan bolasepak yang ternama. Kadangkala kalah kepada pasukan bawahan tetapi di perlawanan besar dalam kejohanan penting, pasukan hebat pasti menyerlahkan keupayaan sebenarnya.Tak pelik kadang-kadang Barcelona atau Manchester United pernah kalah kepada pasukan 'relegetion zone'.Namun kualiti Barcelona pasti terserlah apabila mereka bertembung dengan Real Madrid. MU pula pasti unggul apabila berlawan dengan Liverpool.

Apa kaitannya dengan peristiwa pencerobohan gerombolan bersenjata Sulu di Lahad Datu Sabah? Sebenarnya tragedi Lahad Datu (TLD) adalah pentas terbesar dan paling mencabar bagi PM Najib sepanjang karier politik beliau sebagai ketua kerajaan Malaysia.Rakyat wajib menilai samada Najib kecundang-gagal atau lulus-bergaya dalam ujian TLD ini.

Sudah hampir sebulan pencerobohan di Lahad Datu.Bilangan pasukan keselamatan yang gugur mencecah lapan orang.Orang awam juga terkorban.Banyak ulasan-ulasan berasaskan perspektif keselamatan, politik dan sejarah yang dibincangkan pelbagai pihak. Hampir semua mencatatkan cerita kegagalan (failure story).

Antaranya seperti berikut:
1.Kenapa pasukan risikan negara gagal mengesan awal perancangan musuh?
2.Kenapa pasukan yang ramai, ratusan orang begitu mudah memasuki perairan negara dan menceroboh jauh ke daratan Lahad Datu tanpa tindakan awal?
3.Kenapa kerajaan gagal memaklumkan kepada rakyat Malaysia apa sebenarnya yang berlaku?Apa legitimasi bagi tuntutan penceroboh sehinggakan rundingan memakan masa hampir  tiga minggu?
4.kenapa penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) begitu lambat dan proses membuat keputusan dan 'chain of command' sangat meragukan (indecisive)?
5.Setelah tercetusnya TLD barulah rakyat dibangunkan daripada tidur lena mereka selama ini kononnya pasukan keselamatan negara sudah diperlengkapkan sebaik-baiknya untuk menjaga kedaulatan negara ini. Terdedah akhirnya sepanjang 30 tahun berlalu, pasukan keselamatan negara sebenarnya terabai daripada perkembangan tenaga manusia dan juga peralatan.
6.Kemana hangusnya beratus billion wang negara yang diperuntukkan untuk pertahanan negara sedangkan hasilnya sangat sederhana?

Artikel ini berhasrat hanya membincangkan prestasi kepimpinanan dan kepahlawanan PM Najib dan tidak sekali-kali bertujuan menganalisa keperwiraan pasukan polis dan tentera negara tercinta ini.Alasannya mudah. Jika bilangan pasukan elit PDRM dan ATM tidak mencukupi itu bukan salah mereka. Jika peralatan dan kelengkapan PDRM dan ATM tak cukup dan ketinggalan dari segi teknologi, itu juga bukan salah mereka.

Jika pasukan keselamatan gugur lantaran kelemahan membuat arahan dan kegagalan perundingan, itu juga bukan salah PDRM dan ATM.Bahkan jika krisis Lahad Datu menjadi semakin rumit lantaran kehadiran para simpati dalaman dikalangan rakyat berketurunan Sulu dan Filipina yang diberikan kerakyatan mudah di Sabah, itu juga bukan salah PDRM dan ATM. Yang wajib menanggung tanggungjawab adalah pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang menerajui pemerintahan negara sejak 58 tahun yang berlalu.

Mari kita memberikan fokus kepada kualiti kepimpinan PM Najib.Jangan lupa Muhamad Najib bin Tun Abdul Razak bukan calang-calang manusia. Lahir daripada keluarga bangsawan Bugis di Pahang,anak PM kedua Malaysia, jadi MP pada usia semuda 23 tahun, pernah jadi MB Pahang. Menjadi menteri pertahanan Malaysia untuk tempoh yang sangat panjang.Bahkan dikagumi kerana menjadi perdana menteri dengan segala penasihat dalam pelbagai kepakaran.Ada ramai menteri Jabatan Perdana Menteri dibawah kuasanya. Yang terhebat pula mendapat nasihat langsung daripada syarikat konsultan yahudi antarabangsa, APCO.

Rakyat yang ingin menghakimi PM Najib sangat perlu mengenali karektor beliau.Sangat penting kerana PRU 13 yang bakal berlangsung bulan April atu Mei ini, sebenarnya adalah referendum kepada kepimpinan dan keperibadian Najib.Penulis menyerahkan kepada rakyat mengadili prestasi PM Najib di Lahad Datu. Rakyat jangan diperbodohkan dengan asyik menuding jari kepada pihak lain.

PM Najib sebenarnya adalah seorang yang  sangat berkarektor Flip Flop. Dr Mahathir sendiri pernah mengakuinya. Karektor tersebut bermakna lalai dan kurang teliti dalam membuat keputusan dan cenderung menarik balik keputusan yang telah diumumkan.

Mari kita melihat beberapa contoh keputusan flip flop dizaman pentadbiran PM Najib:
1.Pelaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang dah lama nak dilaksanakan, tangguh dulu.
2.Pelaksanaan peraturan mendera rakyat AES, tak tahu statusnya kerana mahkamah pun tak yakin .
3.Cadangan wajibkan pemeriksaan PUSPAKOM bagi kereta terpakai melebehi usia 15 tahun, umum lepas itu tarik balik apabila rakyat membantah.
4.Cadangan menjual harga petrol lebih mahal kepada kereta berenjin kuasa tinggi.Sudah umum, tarik balik apabila pengguna membantah.
5.Dasar saraan baru kakitangan kerajaan yang memberikan kelebihan berganda kepada kumpulan atasan turus dan jusa tetapi menganaktirikan kakitangan kerajaan bawahan.PM Najib umumkan dalam ucapan belanjawan Oktober 2011. Tak sampai dua bulan tarik balik!

Ada banyak lagi contoh-contoh karektor flip flop PM Najib. Namun bukti-bukti diatas sudah memadai menggambarkan 'the state of mind' beliau.Samada Najib seorang pemikir yang hebat atau tidak.Dari segi psikologi orang flip flop adalah orang yang mempunyai kurang keyakinan diri.Dari segi pengurusan pula orang flip flop adalah orang yang kurang rapi dan terburu-buru membuat keputusan.

Cuba bayangkan seorang yang mempunyai karektor flip flop seperti PM Najib, dalam keadaan bertarung mempertahankan sisa-sisa nyawa politik dan kuasa, tiba-tiba dibebankan dengan cabaran pemikiran yang memerlukan ketajaman, ketelitian dan ketangkasan.Mampu atau tidak beliau melepasi ujian sebesar taufan TLD?

Apatah pula lewat tiga bulan yang lepas pelbagai angin dan badai datang menyerang.Deepak datang membawa ribut, Tan Sri Musa Hassan datang dengan angin taufan,PI Balasubramaniam pula datang dengan angin Altutuya dan terkini bapa Si Saiful -'terliwat' datang dengan angin kentut.Bayangkan situasi minda PM Najib yang penuh kecelaruan dan keserabutan.Orang Melayu selalu kata 'masuk angin'.

Maka tidak hairanlah lantaran kerumitan tersebut maka dicarilah apa sahaja kambing-kambing hitam yang boleh disembelih. Biasalah kambing hitam yang paling empuk adalah Anwar Ibrahim.Maka mengamuklah pencacai-pencacai UMNO mengugut hendak membakar bangunan PKR di Damansara.Polis pula hanya mampu tersenyum puas.

Kenapa? Kerana ada juga manusia yang suka diperbodohkan oleh berita-berita fasik daripada orang-orang fasik lagi zalim.Setelah Anwar Ibrahim menjadi agen Yahudi, agen CIA, agen Hindu maka kini tiba pula giliran Anwar Ibrahim menjadi agen SULU. Hebatnya manusia bergelar Anwar bin Ibrahim!

Menarik kan mengkaji minda FLIP FLOP...Boleh buat thesis PHD.




Isnin, 4 Mac 2013

LAHAD DATU DAN KAMBING HITAM UMNO

Sedih dan terharu dengan kehilangan nyawa ramai petugas keselamatan negara dalam pertempuran dengan penceroboh Muslim Filipina di Sabah.Semoga roh2 mereka ditempatkan bersama golongan beriman.Bagi keluarga yang kehilangan suami,bapa dan anak tersayang bersabarlah.

Untuk kerajaan yang kononnya "terbaik dan dicontohi oleh negara lain" RAKYAT nak tanya beberapa soalan:

1.Pemberian kerakyatan kepada warga asing hanya kerana survival politik UMNO sudah terbukti menyulitkan kawalan keselamatan negara. Berapa ramai rakyat Filipina yang berkampung di Sabah kini? Dimana kesetiaan mereka dalam krisis Sabah-Sulu sebegini?

2. Mungkinkah rakyat Filipina yang diberikan kerakyatan di Sabah adalah sepeerti kisah Trojan di Spartan dahulu. Maknanya didalam pun sudah sedia ada musuh menceroboh?

3. Kenapa bantuan tentera Malaysia tidak digembeling lebih awal. Samada polis atau tentera adalah teknikal tetapi Membiarkan Polis sebagai barisan pertama tanpa penglibatan tentera lebih awal aalah tindakan 'bunuh diri'. Apa jawapan kepada kelewatan membuat keputusan?

4. Dimaklumkan pihak yang berwibawa di Filipina, pencerobohan ini telah dirancang sejak bulan Julai 2012 lagi. Apa jawapan kepada kegagalan risik kerajaan Malaysia.

5. Berapa banyak lagi kambing-kambing hitam (scapegoats) yang kerajaan UMNO/BN nak tuding sebelum bersedia mengakui kelemahan sendiri menjaga keselamatan dan kedaulatan negara?

Bagi rakyat Malaysiayang bakal membuang undi dalam masa terdekat PRU 13 nanti, isu pemberian kerakyatan kepada pendatang asing secara sembrono bagi kepentingan politik UMNO/BN sepatutnya dijadikan isu utama penolakan rakyat kepada UMNO/BN. Cukup! Jangan rela digigit ular yang sama berkali2. Wallahu a'lam.

Jumaat, 1 Mac 2013

LAHAD DATU DAN ISU PENDATANG ASING>>UMNO BUAT APA?

Takziah kepada 2 orang pegawai keselamatan yang gugur syahid mempertahankan negara semalam. Semoga roh mereka diterima baik oleh Allah.Kepada keluarga yang ditinggalkan harap bersabar dan terima ujian Allah dengan redho. Kerajaan wajib membantu yang terbaik.

Banyak persoalan yang rakyat perlu bertanya dan mendesak:
1. Apa peranan risik keselamatan yang gagal mencium peristiwa pencerobohan ini?
2. Kumpulan penceroboh berjumlah ratusan orang, siapa membiayai mereka?
3. Kenapa perairan negara begitu mudah ditembusi?
4. Apa tahap kecuaian PM,Menteri pertahanan dan menteri KDN?
5. Apa tuntutan kumpulan penceroboh yang sangat misteri dan dirahsiakan oleh Kerajaan UMNO/BN?
6. Sudahlah rakyat Sabah dikekalkan miskin, keselamatan mereka pula diabaikan?
7.Sebenarnya dengan pelbagai isu2 besar sabah: PENDATABG ASING RATUSAN RIBU YANG DIBERI KAD PENGENALAN, RASUAH TAUKE BALAK KEPADA UMNO SABAH,KEMISKINAN, ROMPAKAN ROYALTI PETROLEUM SABAH dan \KINI PERISTIWA LAHAD DATU.Adakah UMNO masih relevan di Sabah?

  INI KALILAH,INI KALILAH,selamatkan Sabah, Selamatkan Malaysia.

Akhirnya cuba renungkan. Jika dalam risikan politik untuk melumpuhkan parti2 pembangkang, UMNO habis2an peralatkan cawangan khas (SB) PDRM kenapa untuk keselamatan negara berlaku kecuaian?

Juga ketika mengawal perhimpunan aman Bersih, anti ISA dan perjuangan bahasa Melayu, PDRM begitu perkasa dengan segala persiapan dan keberanian, kenapa menteri KDN gagal kini? Masih rasa ok nak bergayut pada jawatan? Rakyat minta pertanggungjawaban. Pertanyaan Allah nanti tentu lebih menyukarkan.