sekadar renungan bersama..

Selasa, 14 Jun 2011

Surat Terbuka Untuk Seluruh Guru-Guru di Malaysia.

Salam sejahtera dan tahniah buat Tuan/Puan para pendidik dan pejuang kemanusiaan dan kebenaran. Selamat menyambut hari guru pada 16/05/2011 dan didoakan agar seluruh guru-guru di Malaysia dalam lindungan dan bimbingan Allah Azwajalla. Moga-moga juga para guru sekalian dalam keadaan sihat walafiat dan tenang menyelami kehidupan yang penuh cabaran dan sangat-sangat menuntut kecekalan dan kesabaran yang tinggi.

Warkah ini sengaja ditulis lewat dua minggu kerana penulis tertunggu-tunggu apakah berita besar yang sejak sebulan lalu diriuh rendahkan di seluruh negara kononnya ada berita baik untuk para pendidik. Akhirnya pecah tembelang, Perdana menteri dan timbalannya, rupa-rupanya bukanlah cerdik sangat. Sekadar mengumumkan satu skim kenaikan pangkat guru-guru kanan yang selama ini agak sudah terbela tetapi mengabaikan lebih 400 ribu orang guru-guru yang sangat memerlukan elaun tambahan atau kenaikan gaji kerana “Kerja bagai nak mati tapi gaji tak seberapa.”

Saya menggelar Tuan/Puan sebagai pejuang kemanusiaan dan kebenaran kerana atas dua sebab itulah Tuan/Puan diberikan tugasan utama. Pertama, melahirkan insan-insan yang mengenali kemanusiaannya dan yang kedua mempastikan manusia-manusia yang dilahirkan tersebut mengenali kebenaran dan berpegang dengan kebenaran. Adapun tugas yang lain dalam maksud mengajar ilmu-ilmu Matematik, Sains, Bahasa dan lain-lain hanyalah pelengkap kepada tujuan utama pembelajaran.

Apakah definisi dan takrif kebenaran? Allah sendiri mendefinisikan : “Kebenaran itu dari Tuhan kamu maka janganlah kamu tergolong dalam orang yang ragu.” Ini bermakna, kebenaran hanya dapat difahami dan dihayati jika seseorang mengenali dan menyembah Tuhan dalam tatacara dan pengenalan yang betul. Dengan kata-kata lain orang yang ingkar kepada Allah dan menolak kebenaran yang ditentukanNya baik atas untuk apa-apapun : pengamal syirik, orang zalim, orang fasik, orang munafik atau yang beramal dengan isme-isme buatan manusia seperti sosialisme, pragmatisme, opportunisme mahupun nationalisme akan longgar pegangan kebenarannya dan sangat mudah untuk menggadai dan menentang kebenaran.

Persoalan yang sering mengganggu fikiran guru-guru sekarang adakah Tuan/Puan diarahkan bekerja demi melahirkan watak kemanusiaan yang tinggi dan memperlengkapkan anak-anak murid dengan kebenaran atau sekadar menjadikan mereka murid-murid Matematik, murid-murid Sains, murid-murid Geografi, ataupun murid-murid Kokurikulum. Atau adakah tugas Tuan/Puan adalah untuk melahirkan murid-murid angka A yang dipuja dan dipuji lewat akhbar-akhbar dan dalam majlis-majlis keraian sekolah. Jika tiada A di anggap bodoh tetapi jika 12 A di anggap keramat!

Jarang atau tidak lagi kedengaran murid-murid diberikan galakan berterusan supaya sebelum tamat persekolahan, mereka sudah berfikrah benar dan mampu memimpin diri dengan berkesan. Persoalan akhlak mulia, persoalan jati diri, kepedulian dan iltizam menjaga maruah diri, keluarga, dan agama seolah-olah diabaikan.

Malah yang lebih malang, kita melihat penyalahgunaan tenaga Tuan/Puan yang dilakukan secara sengaja dan terancang untuk memuaskan nafsu serakah manusia-manusia yang dianggap Tokoh Negara atau Pemimpin Bangsa.

Matlamat pendidikan yang berbeda jelas kelihatan jika Tuan/Puan pernah mengajar di sekolah-sekolah JK Cina dan di sekolah-sekolah Kebangsaan yang ramai pelajar Melayu. Ataupun jika Tuan/Puan pernah mengajar di sekolah bantuan modal seperti sekolah Methodist, Convent dan sebagainya. Yang dijadikan mangsa permainan politik pendidikan di negara ini adalah guru-guru dan murid-murid Melayu. Akibat permainan politik pendidikan ini, guru-guru dan murid-murid Melayu gagal digilap potensi sebenar mereka. Guru-guru dan murid-murid Melayu bukan tak setara mental dan IQ mereka dengan pelajar-pelajar Cina tetapi Psikologi mereka dimusnahkan.

Tuan, Puan para pendidik sekalian,

Apa yang saya maksudkan Politik pendidikan? Sekurang-kurangnya ada tiga situasi yang bobrok dan jijik.

  • Kenaikan pangkat guru-guru kanan khususnya bagi menjawat pengetua dan pegawai-pegawai pendidikan daerah yang berdasarkan warna dan sokongan politik. Banyak sekolah dan pejabat-pejabat pendidikan tidak menunjukkan kecemerlangan kerana bukan orang yang terbaik diletakkan. Sebahagian mereka dipilih hanya kerana amalan politik naungan parti politik bernama UMNO. Bagaimana mungkin sekolah yang mempunyai pengetua ‘mediocre’ mampu melahirkan sekolah dan murid cemerlang. Itulah jawapan kepada situasi dimana seorang Guru Besar sekolah rendah mampu bertanding Ketua Bahagian UMNO dan mampu pula mengamalkan rasuah politik bernilai ratusan ribu ringgit.

  • Sekolah-sekolah yang ramai murid Melayu terutamanya sekolah kebangsaan disibukkan guna melaksanakan program berunsur ‘cari nama’ ‘menunjuk-nunjuk’ ‘nak pecah rekod’ ‘jaga nama baik Guru Besar’ dan ‘jaga nama PPD’. Maka dikerahlah murid-murid dengan seliaan guru-guru dan dikorbankanlah waktu belajar hanya kerana nak buat ‘sekian banyak tanglong’ ‘sekian banyak pasukan kawat’ ‘sekian panjang itu dan ini’. Tersenyum lebar pengetua kerana mendapat pujian dan kebelakangan ini banyak pula insentif-insentif berbentuk wang kepada Guru Besar dan guru-guru kanan jika sekolah mencapai kejayaan tertentu. Guru besar akan dapat ribuan ringgit contohnya program yang disebut ‘Baiah Pengetua’. Orang kata ‘Everything is about Money’ ‘Only Money Matter’. Guru-guru bawahan tertekan.

  • Pegawai-pegawai jabatan pendidikan Daerah dan pengetua-pengetua sekolah yang di tugaskan membuat kerja-kerja politik walaupun diluar kerelaan mereka. Tidak dinafikan ada yang suka, seronok jadi balaci UMNO tetapi melalui pengamatan saya sebahagian besar tidak redho diperalatkan. Buktinya, sejak April lepas telah dijadikan satu agenda Menteri Pelajaran dan juak-juaknya untuk membasuh minda pegawai-pegawai kanan jabatan dan sekolah-sekolah di seluruh negara supaya menyokong UMNO/BN. Mereka juga diarahkan untuk berbuat perkara yang sama kepada guru-guru dibawah tadbiran mereka.

Agenda ini dilaksanakan oleh Institut dibawah Kementerian Pelajaran dan sangat bertentangan dengan dasar-dasar dan semangat pendidikan yang murni dan bersifat universal. Apa tidaknya yang diasak dalam pemikiran peserta-peserta kursus adalah semangat benci kaum Cina dan semangat mesti sokong pemimpin-pemimpin Melayu secara membabi buta.Kononnya orang Melayu dipinggir kehilangan kuasa lantaran kemaraan parti DAP. Tak apa rasuah, boros, tak cekap, bermoral rendah asalkan Melayu. Jangan sesekali berminat dengan Melayu PAS atau lain-lain Melayu kerana kononnya UMNO sahaja yang boleh menyelamatkan Melayu dan negara ini. Difahamkan sasaran 40,000 peserta nak dikursuskan menjelang PRU ke 13 ini.

Buktinya, betapa rasisnya agenda tersebut kerana baru-baru ini salah seorang pengetua berbangsa Cina yang telah ‘tersilap’ menerima arahan hadir kursus telah diarahkan balik tanpa sempat mendengar apa-apa taklimat pun. Sedihnya kerana guru-guru Kaum Melayu cuba diperbodohkan untuk kepentingan politik sempit. Halalkah duit elaun yang dibayar oleh dana rakyat tetapi bagi tujuan program politik.Berapa banyak pula pembaziran sumber masa dan tenaga yang sepatutnya digunakan untuk pendidikan murid-murid.

Guru-guru kumpulan bawah terutamanya yang bukan siswazah bekerja Isnin hingga Sabtu, 8.00 a.m – 3.00 p.m, 8.00 p.m – 11.00 p.m (di rumah), gaji tak naik, peluang kenaikan pangkat tipis dan prospek kerjaya menyedihkan. Adakah anda tidak penting?

Saya tidak ingin memanjangkan warkah ini kerana saya berkeyakinan para guru sekalian tentu mempunyai lebih maklumat tentang tidak amanahnya menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang memimpin kerajaan Malaysia. Tidak amanah kerana memperalatkan jentera kerajaan bagi tujuan kepentingan diri dan politik UMNO/BN. Mereka juga sudah beberapa kali mungkir janji khususnya tentang nak mengurangkan beban kerja guru.Semua guru masih ingat janji yang dibuat Dato Hishamuddin tentang nak kaji beban kerja guru kira-kira tiga tahun lalu.Apa dah jadi!

Sesungguhnya Islam mengajar kita untuk bekerja untuk mencari pahala dan keredhaan Allah. Bukan mencari keredhaan manusia atau kerana takut kepada ugutan dan sebagainya. Negara Malaysia dan rakyat negara ini akan terus hidup mengikut ketentuan Tuhan. Tak ada sesiapa pun di dunia ini yang percaya bahawa tanpa UMNO/BN rakyat dan negara ini akan musnah. Di negara-negara lain tidak adapun parti politik bernama UMNO tetapi mereka terus maju dan berjiwa merdeka. Kerana pemimpin-pemimpin mereka berjiwa besar dan boleh menerima keputusan rakyat dengan matang. Rakyat sebagai penentu, wajib berusaha memilih untuk dipimpin oleh orang-orang yang amanah, berilmu, beriman dan bertaqwa. Dengan iman dan taqwa Melayu selamat, Negara selamat dan Islam pun selamat.

Dengan UMNO, Islam tak selamat, Negara muflis dan Melayu pun tak selamat. Berjuanglah menyelamatkan negara dan generasi anak-anak kita. Fikir-fikirkan.Selamat Hari Guru.

“Sesiapa yang inginkan ganjaran dunia sedangkan disisi Allah ada ganjaran dunia dan akhirat...”

(maksud Al-Quran An Nisa:134)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan