sekadar renungan bersama..

Jumaat, 17 Julai 2009

Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam.

NONEMayat Teoh Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

Semalam Teoh telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.

(foto: Teoh, kanan, bersama Ean Yong berbual dengan pegawai siasatan di pejabat exco itu)


Berikutan berita mengejut dan luar biasa tersebut, para pemimpin Pakatan, termasuk Ean, bergegas ke bangunan tersebut.

Pemimpin DAP lain yang berada di pejabat SPRM termasuk exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu; Speaker DUN Teng Chang Khim dan ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.

Liu and Teng mengesahkan bahawa mayat itu mendiang Teoh.

Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih.

Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.

NONEDitanya bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu.

Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teoh - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.

SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.

Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat empat ADUN Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat.

Shukri mengesahkan suruhanjaya itu semalam menyerbu empat pejabat ADUN berkenaan dan meneliti beberapa dokumen bagi membantu siasatan, lapor laman web Utusan Malaysia.

"(Siasatan) itu prosedur biasa. Kalau kita terima apa-apa aduan, memang kita akan ke pejabat atau rumah mereka," katanya kepada pemberita di Akademi SPRM hari ini.Sementara itu, peguam M Manoharan, yang menemani Teoh ke pejabat SPRM semalam berkata, mendiang kelihatan biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi sebarang tekanan.

"Dia nampak gembira dan tenang. Saya menasihatkannya bagaimana hendak mengendalikan soal siasat tersebut kerana saya tidak dibenarkan untuk bersamanya" katanya.

Manoharan, yang juga ADUN Kota Alam Shah kali terakhir melihat Teo pada kira-kira jam 7 petang semalam.

Setakat jam 6 petang ini, mayat Teo masih berada di atas bumbung tempat dia jatuh.

Komputer riba Teo dirampas


Pejabat Ean telah diserbu SPRM semalam di mana sebuah komputer riba milik Teoh dan sebuah komputer meja telah dirampas.

SPRM juga menyerbu pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Selain Ean dan Lau, lima lagi wakil rakyat Pakatan turut disiasat, iaitu Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama) and Edward Lee (Bukit Gasing).

SPRM sebelum itu telah menyoal siasat beberapa orang, termasuk pembantu lima wakil rakyat - Ean, Lau, Kok, Wong dan Yeoh.

Wakil rakyat Pakatan Selangor masing-masing diberi RM500,000 setahun untuk membiayai program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. SPRM mendakwa dana tersebut telah disalahguna.

R Sivarasa, yang juga ahli parlimen Subang berkata, kematian Teoh berlaku dalam keadaan yang meragukan.

"Sehingga ini, kita mempertanggungjawab SPRM terhadap kematian tersebut sehingga kita mendapat penjelasan yang memuaskan," katanya.
_____________________________________________________________________

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh)- PAS mendesak supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat kematian misteri Teo Beng Hock di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, semalam.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayob menegaskan kematian penuh misteri Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah perlu siasatan rapi dan penjelasan daripada pihak berkuasa.

Tegas beliau lagi, kematian Teo menyebabkan rakyat semakin curiga terhadap SPRM yang telah lama prestasi mereka dipertikaikan.

"Agak pelik bila selesai siasatan kira-kira pukul 3.45 pagi, mendiang enggan pulang ke rumah sebaliknya meminta untuk berehat di pejabat SPRM.

"Kebiasaannya sesiapa saja yang dipanggil untuk siasatan akan segera pulang bila sudah selesai disoal siasat tetapi kali ini agak pelik bila Pengarah Siasatan SPRM Dato' Shukri Abdull mengatakan mendiang minta untuk berehat di pejabat SPRM.

"Kematian ini penuh misteri dan kerana itu, PAS mendesak agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes ini agar rakyat dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," tegas beliau.

Tambah beliau lagi, Teo menemui ajal ketika masih dibawah pengawasan SPRM dan kerana itu suruhajaya tersebut perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian mendiang.

Salahuddin juga menjelaskan bagi pihak PAS, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga dan tunang mediang Teo.

Pada 15 Julai, lima anggota SPRM menyerbu pejabat salah seorang daripada anggota exco negeri itu serta merampas beberapa dokumen termasuk sebuah komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU).

Hari yang sama juga, Teo telah dibawa ke pejabat SPRM Selangor untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa Adun Pakatan Rakyat negeri itu.

Peguam M Manoharan, yang menemani Teo ke pejabat SPRM pada hari tersebut berkata, mendiang kelihatan biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi sebarang tekanan.

Kejadian terbaru ini telah menambahkan keraguan rakyat terhadap SPRM kerana sebelum ini terdapat individu yang mendakwa dikasari oleh pegawai-pegawai suruhanjaya tersebut.

Pada Januari lepas, individu bernama Halimi Kamaruzzaman membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya dan mendakwa dirinya telah didera dan dipaksa oleh pegawai-pegawai SPRM supaya mengakui Dato' Norza Zakaria terbabit dengan politik wang.- mr_

____________________________________________________________________

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor amat terkejut dengan kematian setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Teoh Beng Hock yang didapati mati di Bangunan Plaza Masallam dan dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) petang semalam.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

"Kematian Teoh merupakan akibat langsung daripada siri siasatan SPRM yang dijalankan secara selektif ke atas pegawai kerajaan, wakil rakyat dan agensi kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor baru-baru ini.

"Ini bukan kali pertama pegawai kerajaan dipaksa untuk melalui siasatan yang berlanjutan oleh SPRM, namun kali ini, SPRM jelas telah melampaui batasan sehingga berlakunya kematian saksi," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Khalid telah mengadakan satu Sidang Media Tergempar jam 8.30 malam di Bangunan Annexe, Shah Alam berhubung kejadian terbabit.

Katanya beliau turut menghubungi Ketua Polis Selangor dan bersetuju untuk membenarkan pakar patologi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk membantu siasatan polis.

Kerajaan Negeri juga bersedia untuk memberikan bantuan kepada keluarga mendiang Teoh untuk menguruskan pengendalian jenazah mendiang termasuk sokongan kewangan bagi meringankan kesedihan di pihak keluarga, katanya.- azm _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan