sekadar renungan bersama..

Selasa, 16 Jun 2009

KENYATAAN AKHBAR PAKATAN RAKYAT PERAK 15/06/09

Sejak berakhir muktamar PAS ke – 55 di Shah Alam banyak perkembangan yang kurang sihat berlaku dikalangan media utama dan dunia blogger. Isu-isu panas yang terus disensasikan adalah usaha-usaha UMNO untuk mengambil kesempatan tentang isu Kerajaan perpaduan bagi melemahkan hubungan Pakatan Rakyat. Bagi Perak saya sebagai ahli majlis tertinggi Pakatan Rakyat Negeri perak ingin memberikan beberapa penjelasan.

i) Isu Kerajaan Perpaduan adalah tidak berbangkit kerana tidak ditimbulkan dalam

ucapan dasar presiden. Tetapi diberikan ruang media yang berlebihan.

ii) Terlalu banyak perkara-perkara dasar yang disentuh oleh presiden PAS tentang komitmen PAS mendukung Pakatan Rakyat diseluruh Negara, kutukan PAS tentang angkara jahat BN merampas kuasa di Perak dan desakan PAS untuk DUN Perak dibubarkan demi memulihkan demokrasi dan hak rakyat Perak. Semua ini tidak diberikan liputan oleh media.

iii) Ucapan dasar Presiden juga mempertikaikan kredibiliti Perdana Menteri baru, Dato’ Sri Najib dan menuntut PM membersihkan namanya. Juga tidak diberi liputan media.

iv) Usul-usul penting tentang rosaknya kredibiliti kehakiman di Malaysia dan usul mendesak penghapusan pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) juga tidak diberikan layanan yang adil oleh media.

v) Sebagai Parti Islam PAS tentu berhak menyuarakan pendangan tentang isu besar seperti Islam liberal yang dipromosikan oleh Sister in Islam (SIS). Usul yang disokong sebulat suara oleh perwakilan muktamar bukan mendesak SIS diharamkan secara buta tuli tetapi mendesak pihak Majlis Fatwa Kebangsaan melakukan siasatan dan hanya jika sabit kesalahan supaya SIS diharamkan. Buat makluman rakan-rakan non muslim, Islam tidak menyekat pandangan kritis tentang apa saja isu tetapi jika orang-orang Islam sendiri berpegang dan mempromosikan ideologi-ideologi tersasar yang dikaitkan dengan Islam adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk membetulkannya . Tindakan pembetulan bukan kerana benci tetapi supaya orang Islam yang tersasar dikembalikan ke pangkal jalan atas rasa kasih PAS kepada saudara seagama.

vi) Usul ekonomi yang diluluskan oleh muktamar juga perlu dilihat dalam kerangka PAS sebagai sebuah Parti Islam. Berbeda dengan UMNO yang mempertahankan equiti 30% untuk bumiputra tanpa mengikut merit, PAS menuntut equiti 30% bumiputra dalam konteks ia mesti dilaksanakan dengan penuh ketelusan, integriti dan atas dasar merit kelayakan. PAS pula sangat konsisten menentang assobiyyah Melayu yang menjadi pegangan UMNO. Dasar Assobiyyah inilah yang sebenarnya menjadi punca ketidak adilan kepada rakyat bukan Melayu bahkan juga kepada orang-orang Melayu yang tidak menyokong UMNO.

vii) Memahami gangguan sementara yang dilontarkan kepada Pakatan Rakyat adalah agenda media yang dikuasai oleh UMNO maka semua rakan dalam Pakatan Rakyat mestilah merujuk kepada pimpinan PAS bagi apa saja kekeliruan.

viii) Pihak kami bersyukur kepada Allah kerana hubungan Pakatan Rakyat di Perak adalah ditahap yang akrab dan baik. Pakatan Rakyat masih terus menganjurkan program-program bersama bagi menuntut pembubaran DUN Perak dan memperjuangkan hak rakyat Perak. Setiap malam 4 ceramah yang melibatkan gabungan pimpinan PAS-DAP-PKR dianjurkan diseluruh Negeri.

ix) Buat masa tedekat PR Perak akan menjuarai isu pembentukan Suruhanjaya Bebas diRaja bagi menyiasat jenayah-jenayah rasuah dan sex yang UMNO/BN lakukan bagi merampas kuasa di Perak. Penjenayah-penjenayah tersebut mestilah dihukum demi keadilan.

x) Pakatan Rakyat di Perak sedang dan akan terus memperkukuhkan hubungan kerja kearah memenangi PRU ke 13 secara mutlak. Pakatan Rakyat juga sangat komitted memperjuangkan agenda politik baru Malaysia yang mementingkan perpaduan kaum dan kebajikan rakyat.

Kenyataan oleh

Dr. Hj. Khairuddin Bin Dato’ Abd. Malik

Ahli JK Majlis Tertinggi

Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan