sekadar renungan bersama..

Ahad, 7 Jun 2009

Usul tergempar gesa siasat BN Perak

- Malaysiakini -

Seorang perwakilan Perak mengemukakan usul tergempar pada hari terakhir muktamar PAS agar mendesak penubuhan suruhajaya diraja bagi menyiasat rampasan kuasa oleh BN Februari lalu di negeri itu.

Dr Khairuddin Abdul Malik, perwakilan kawasan Tambun, berkata suruhanjaya tersebut bagi menyiasat kemungkinan wujud unsur jenayah sehingga menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat itu.

Beliau turut mencadangkan agar badan yang akan dibentuk itu memberi cadangan-cadangan pencegahan agar insiden tersebut tidak terjadi kepada empat lagi negeri Pakatan Rakyat.

"Kalau Umno dan BN benar, kenapa takut untuk disiasat?

"Perkara ini (kemelut Perak) lebih besar daripada kes (mata lebam) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan (rakaman video peguam) VK Lingam sehingga ditubuhkan suruhanjaya bebas diraja.

"Kenapa tidak boleh ditubuhkan suruhajaya untuk siasat kemelut Perak," katanya.

Usul yang dibentang ini dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan dan barisan kepemimpinan PAS.

Sementara Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad ketika menyokong usul tergempar ini berkata, penubuhan badan tersebut penting untuk mendedahkan "kejahatan dan keburukan" BN yang mengambilalih kuasa secara tidak berprinsip dan tidak menghormati undang-undang, termasuk undang-undang tubuh Perak sendiri.

Dalam ucapannya, Khalid juga menggesa agar kepemimpinan PAS dan perwakilan untuk mengenali pihak lawan termasuk Umno yang menghulurkan tangan untuk berdamai dengan PAS.

"Kita kena kenal lawan kita ... tetapi hakikat mereka jahat membawa kerosakan dan perpecahan kepada PAS, PKR dan Pakatan Rakyat.

"Jangan kita sebut tentang perpaduan, perundingan walaupun ada banyak persamaan kecil antara kita," katanya dengan nada marah, tegas dan bersemangat, kemudian disambut dengan laungan takbir kira-kira 2,000 hadirin, termasuk pemerhati.

"Kamu sayang kepada mereka, tetapi mereka tidak sayang kepada kamu," kata Khalid, sinis.

Beliau cuba membawa perwakilan mengingati peperangan Siffin antara Muawiyah dan Ali apabila tentera Muawiyah meletakkan al-Quran di hujung lembing sebagai jalan damai kedua-dua pihak walaupun taktik itu hanya muslihat semata-mata.

Khalid, juga ahli parlimen Shah Alam, turut menggesa perwakilan bersatu untuk memberi tekanan kepada Umno demi mencapai kemenangan dan kesatuan jamaah.

"Jangan kita lepaskan mereka (Umno), jangan berhenti asak mereka. Dan dengan asakan kita itu, kita dapat menyatukan saf jamaah dan Pakatan Rakyat," katanya.

"Kalau berhenti (mengasak) dan sentiasa menyebut perkataan perpaduan, kesatuan, berdamai (dengan Umno) maka perpecahan melanda kita".

____________________________________________________________________________________

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Satu usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja siasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak diterima sebulat suara.

Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.

Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

"Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

"Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu," tegas Dr Khairuddin.

Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.

Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.

Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.

Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.

Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan